Followers

Tuesday 27 November 2012

Bagaimana Menjaga Hati...



Faktor hati kita menjadi kotor dan berpenyakit ialah kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan kepada Allah. Untuk membersihkan kembali hati kita yang kotor itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan bertaubat kepada Allah.

“Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (at-Tahrim: 8)

Taubat bermaksud kita kembali ke pangkuan Allah dengan menyesali ketelanjuran kita dan memohon dari Allah agar Ia mengampunkan kita serta menerima semula kita sebagai hambaNya. Taubat tidak sempurna kecuali dengan menyempurnakan syarat-syaratnya, iaitu;
  1. Meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan
  2.  Menyesali ketelanjuran melakukan dosa dan maksiat tersebut
  3. Berazam dengan sepenuh hati tidak akan kembali semula kepada maksiat dan dosa tersebut.
  4. Jika dosa dan maksiat itu ada hubungan dengan manusia, hendaklah disusuli dengan memohon maaf dan memulangkan barang yang diambil atau minta halal dari tuannya.

Setelah bertaubat, kita hendaklah banyak beristighfar kepada Allah. Marilah kita mencontohi Nabi kita Muhammad s.a.w. di mana walaupun baginda bersih dari dosa, namun baginda lah yang paling banyak beristighfar kepada Allah. Baginda pernah berkata; “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya pada setiap hari lebih dari 70 kali” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam riwayat yang lain, baginda berkata; “Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah pada setiap hari lebih dari 100 kali” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Banyaklah beristighfar sama ada di rumah kamu, ketika kamu mengadap hidangan, ketika di jalan, ketika di pasar, ketika kamu berada di dalam majlis atau di mana saja kamu berada kerana kamu tahu bila akan turunnya keampunan Allah”.

No comments:

Post a Comment