Followers

Monday 25 March 2013

SELOKA PAK KADUK



Aduhai malang Pak kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk

Melalui penelitian terhadap seloka Pak Kaduk ini, beberapa ciri penting yang perlu kita lihat ialah tema, persoalan, gaya bahasa, nilai dan pengajaran. Aspek-aspek ini merangkumi sebahagian pengajaran KOMSAS yang perlu dikuasai oleh para pelajar.

        i.           Tema
Seloka Pak Kaduk bertemakan kebodohan iaitu ketidakmampuan untuk berfikir secara rasional dalam melakukan sesuatu perbuatan atau bertindak melakukan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Kebodohan yang dilakukan oleh diri sendiri mengakibatkan diri seseorang itu akan ditimpa nasib malang. Sebagai contoh, kebodohan Pak Kaduk bertindak tanpa menggunakan akal fikiran secara waras menyebabkan hidupnya sentiasa ditimpa nasib malang.

      ii.            Persoalan
Terdapat pelbagai persoalan dalam “Seloka Pak Kaduk”, antaranya ialah
1. Segelintir golongan pemimpin atau golongan atasan yang sanggup mengambil kesempatan terhadap rakyat yang lemah dan bodoh. Sebagai contoh, tindakan Raja yang mengambil kesempatan ke atas kebodohan Pak Kaduk menyebabkan Pak Kaduk menglami kerugian.
2. Kebodohan dalam bertindak tanpa menggunakan akal fikiran yang waras akan merugikan diri sendiri. Sebagai contoh, Pak Kaduk mengalami kerugian dalam hidupnya kerana tindakannya yang bertukar ayam dengan Raja dibuat tanpa berfikir panjang.
3. Kesan buruk perbuatan suka berjudi. Sebagai contoh, sikap Pak Kaduk yang suka berjudi menyebabkan hidupnya sentiasa ditimpa nasib yang malang.
4. Manusia sanggup bertindak kejam kerana dipengaruhi perasaan marah. Sebagai contoh, perbuatan Pak Kaduk yang sanggup membunuh isteri sendiri kerana marahkan isterinya yang selalu menegur perbuatan bodohnya itu.
5. Sikap suka membazir. Sebagai contoh, Pak Kaduk membuang nasi menyebabkan dia berada dalam kelaparan.

    vi.            Bentuk
Seloka Pak Kaduk merupakan sebuah puisi berbentuk bebas atau tidak terikat. Seloka ini mempunyai tujuh hingga sembilan suku kata dalam setiap baris. Rima akhirnya terdiri daripada a,b,c,c,d,e,f,c,c. Seloka ini juga hanya mengandungi satu rangkap sahaja. Dari segi perkataan. Seloka Pak Kaduk mempunyai tiga hingga lima patah perkataan.

  vii.            Unsur Sindiran
Melalui seloka Pak Kaduk ini, terpancar budaya masyarakat Melayu tradisional yang tidak mengkritik secara berterus terang tetapi secara halus. Kata-kata yang digunakan dalam seloka adalah lambang-lambang yang mengandungi makna yang tersirat. Pelbagai unsur sindiran yang terdapat dalam seloka Pak Kaduk. Antaranya ialah sindiran terhadap manusia yang suka berjudi sehingga mengorbankan harta, tanah dan kampung. Sebagai contoh, ayam menang kampung tergadai.
Terdapat juga unsur sindiran terhadap manusia yang terlalu yakin akan mendapat sesuatu yang belum pasti. Contohnya, Ada nasi dicurahkan. Selain itu, unsur sindiran terhadap manusia yang bertindak secara melulu atau emosional juga ditunjukkan dalm seloka tersebut. Sebagai contoh, ada isteri dibunuh. 

viii.            Gaya Bahasa
Aspek gaya bahasa
        i.            Metafora
Metafora ialah perbandingan dengan sesuatu yang berbentuk abstrak dan konkrit. Contohnya, masa belayar

      ii.            Responsi
Responsi ialah pengulangan kata di tengah baris. Contohnya,
        Mudik menongkah surut,
        Hilir menongkah pasang


    iii.            Aliterasi
Aliterasi ialah pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam satu ayat. Contohnya, pengulangan konsonan n dalam baris berikut,
                       ayamnya menang kampung tergadai

    iv.            Asonansi
Asonansi ialah pengulangan bunyi vokal yang sama dalam satu ayat. Contohnya pengulangan bunyi vokal a dalam baris berikut,
aduhai malang Pak Kaduk
      v.            Sinkop
Sinkop bermaksud penyingkatan kata. Contohnya, penyingkatan kata tak daalam baris berikut,
Nyaris mati oleh tak makan

    vi.            Paradoks
Paradok ialah penyataan yang kelihatan bertentangan tetapi kenyataannya mengandungi kebenaran dengan pendapat umum atau realiti. Contohnya dalam baris berikut,
            Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang


    ix.            Pengajaran
             1. Kita hendaklah bersabar apabila menghadapi sesuatu masalah. Sifat sabar perlu ada dalam diri setiap individu kerana kesabaran yang tinggi mampu menguji kekuatan iman seseorang dalam meyelesaikan sesuatu masalah. Sebagai contoh, Pak Kaduk bersabar terhadap isterinya yang selalu menegur perbuatan bodohnya.

         2. Kita seharusnya berfikir dahulu sebelum melakukan perbuatan yang merugikan diri sendiri. Dalam melakukan apa jua tindakan, seseorang itu perlu berfikir terlebih dahulu demi memastikan tindakan yang dilakukan memberi kesan yang baik bukan sebaliknya. Sebagai contoh, Pak Kaduk mesti berfikir dahulu sebelum bersetuju menukarkan ayamnya dengan ayam Sultan yang menyebabkan kampungnya tergadai.

            3. Kita mestilah mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan membazir. Sifat suka membazir tidak kiralah dari segi masa, wang dan sebagainya perlu dielakkan kerana hanya merugikan diri sendiri. Sebagai contoh, Pak Kaduk tidak wajar membuang nasi yang sepatutnya dijadikan makanan keluarganya.


    iv.            

2 comments: