Followers

Tuesday 9 July 2013

Novel Tingkatan 1 : Hikmah



SINOPSIS
Amri ketua pembuli di sekolahnya. Dia dan kawan-kawannya selalu meminta wang perlindungan daripada murid-murid junior. Tiada sesiapa yang berani mengadukan tindak-tanduk Amri kepada guru kerana takut dibuli dengan lebih teruk oleh Amri. Guru pun tidak dapat menghukum Amri kerana ketiadaan bukti. Walau bagaimanapun, Sapura seorang pengawas sekolah yang berani memberitahukan hal Amri kepada guru disiplin, Cikgu Salman apabila ternampak akan salah laku Amri ketika meminta wang perlindungan daripada seorang murid junior. Amri berdendam dan merancang untuk mengenakan Sapura.

         Pada masa yang sama, Amri berubah sikap apabila di rumah. Dia anak yang baik dan menyayangi ibunya. Amri dan ibunya hidup dalam kesusahan kerana bapa Amri tidak bertanggungjawab dan selalu meminta wang daripada ibu Amri. Sikap ayah Amri yang panas baran dan ganas itu menyebabkan Amri memberontak. Dia melepaskan kemarahannya dengan membuli murid-murid lain. Bagi Amri, orang lain pun perlu merasai sama rasa sakit hati yang ditanggung oleh dirinya.

       Amri mengenakan Sapura dengan menyebabkan Sapura terjatuh ke dalam bendang. Sapura dan basikalnya diselaputi lumpur. Apabila pulang ke rumah, Amri mendapati bahawa ibunya cedera di dahi akibat perbuatan ayahnya. Ibu Amri juga pitam. Kesusahan yang dialami oleh Amri dan ibunya ini telah diketahui Sapura apabila Sapura datang ke rumah Amri untuk mengadukan kenakalan Amri kepada ibu bapa Amri. Sapura memahami punca kenakalan Amri dan bersimpati kepada Amri. Sapura ingin menolong Amri.

          Amri berbasikal ke pekan yang jauh untuk membeli ubat untuk ibunya. Ketika ingin pulang, seorang pemuda meminta pertolongan daripada Amri. Rupa-rupanya Amri diperangkap. Pemuda itu dan kawannya ingin menyamun Amri. Apabila tidak berjaya mendapat wang, mereka membelasah Amri dan membuang ubat yang dibeli oleh Amri. Mujur Amri kemudiannya telah dibantu oleh Sapura.

          Sapura dan ayahnya membawa Amri ke hospital. Sebelum itu, mereka berdua sudah membawa ibu Amri ke hospital. Sejak kejadian itu, Amri dan Sapura bersahabat baik. Amri pun berasa insaf dan tidak mahu membuli lagi sebaliknya dia ingin menjadi pembela kepada murid-murid yang pernah dibulinya. Ayah Amri pula dipenjarakan kerana terlibat dengan perjudian haram dan dadah. Dia insaf dan memohon agar diberi peluang oleh Amri dan ibunya. Amri tidak berdendam lagi dan semakin bijak mengawal emosi

TEMA
  • Tema novel ini ialah kepincangan dalam keluarga yang menyebabkan anak memberontak dan berubah tingkah laku. Amri adalah anak yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarganya. Malangnya, sikap ayahnya yang berubah menjadi kejam dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga menyebabkan Amri yang berubah sikap.


PERSOALAN
  1. Tanggungjawab bapa terhadap kesejahteraan keluarga
  2. Kasih sayang ibu terhadap anaknya
  3. Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua orang tuanya
  4. Peranan pengawas dalam melaksanakan undang-undang sekolah
  5. Prihatin dan simpati terhadap insan yang memerlukan
  6. Saling memaafkan atas kesilapan lampau


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak utama 
Amri
-seorang pelajar sekolah menengah dan merupakan anak tunggal dalam keluarganya.
-seorang kaki buli dan sering mengugut pelajar junior supaya membayar wang perlindungan.
-seorang pendendam.
seorang anak yang taat akan perintah ibunya.

Sapura
-seorang pengawas sekolah
-seorang yang tegas dan berani.
-seorang yang baik hati.

Emak Amri
-seorang ibu yang kasih akan anaknya.
-seorang isteri yang taat akan perintah suaminya.
-seorang yang pemaaf kerana sanggup memaafkan suaminya dan sedia menerima kehadiran suaminya semula.

Watak sampingan
Ayah Amri
-seorang kaki pukul.
-terlibat dengan penagihan dadah.
-sering memukul isterinya untuk mendapatkan wang.
-akhirnya menyesal akan perbuatannya.

PLOT
Binaan Plot:
(a) Peristiwa disusun secara tidak kronologi. Terdapat peristiwa imbas kembali. Contohnya, Sapura teringat kembali peristiwa ketika dia hendak ke kantin untuk bersarapan. Sapura terlihat akan Amri sedang memarahi seorang pelajar junior. Bermula daripada peristiwa itulah Sapura melaporkan hal itu kepada Cikgu Salman dan Amri dikenakan hukuman.

(b) Pada permulaan cerita, Amri berasa sakit hati kepada Sapura apabila pengawas sekolah itu mengadukan halnya mengugut Saleh kepada guru disiplin sekolah, Cikgu Salman. Oleh sebab Sapuralah, dia telah dirotan oleh Cikgu Salman. Amri bertekad untuk membalas dendam terhadap Sapura.

(c) Plot berkembang apabila Amri memarahi ayahnya kerana menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga susah. Ayahnya sering meminta duit daripada ibu Amri. Amri bersimpati terhadap ibunya. Amri sangat sayang akan ibunya. Tetapi Amri tidak berdaya untuk membantu ibunya. Pada suatu hari, ibu Amri telah dipukul oleh ayahnya sehingga luka di dahi. Amri segera ke bandar untuk membelikan ibunya ubat.

(d) Pada bahagian klimaks, Amri telah ditahan oleh seorang lelaki yang cuba menyamunnya ketika pulang dari farmasi. Lelaki itu dan kawannya meminta wang daripada Amri. Oleh sebab Amri tidak memberi mereka wang, mereka telah memukul Amri dan menuangkan ubat yang dibeli oleh Amri untuk ibunya.

(e) Plot mula menurun apabila Sapura dan ayahnya membantu Amri yang cedera dipukul penyamun. Mereka membawa Amri ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Amri dan emaknya mengucapkan terima kasih kepada keluarga Sapura kerana membantu mereka.

(f) Plot ditamatkan setelah Amri insaf. Kini, Amri dan Sapura berkawan baik. Amri juga telah berubah menjadi menjadi murid yang baik dan pelindung kepada murid-murid yang lemah.

NILAI DAN PENGAJARAN

Bertanggungjawab
  • Ibu Amri menjalankan tanggungjawab seorang ibu dengan menyediakan makan tengahari dan wang saku untuk persekolahan Amri.
  • Sapura bertanggungjawab melaporkan kes salah laku Amri kepada guru disiplin.


Prihatin
  • Sapura dan ayahnya prihatin dan bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga Amri. 

kemaafan
  • Sapura bersedia memaafkan Amri walaupun Amri pernah menyakitinya dan Amri pula bersedia memaafkan ayahnya. 

Kasih sayang
  • walaupun Amri hidup dalam kesusahan namun dia amat menyayangi ibunya. 


















5 comments: