Followers

Friday 3 August 2012

PERKHEMAHAN PANDU PUTERI SISWI II ,UPSI ,KALUMPANG RESORT, TANJUNG MALIM, PERAK


 Hai Assalamulaikum...
hari ni admin nak tunjuk refleksi perkhemahan yang admin da buat sepanjang perkhemahan yang admin dah lalui..sangat best! Admin selitkan jugak beberapa keping gambar yang sempat admin ambil..hehe dan semoga refleksi ni bolehla jadi rujukan sape2  yang nak..^_^

21 April 2012 (Sabtu)
             Saya telah menjalani satu perkhemahan Pandu Puteri selama 2 hari 1 malam di Kalumpang Resort, Tanjung Malim Perak. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dilaksanakan sepanjang saya menjalani perkhemahan di sana. Pada awalnya kami mengalami masalah untuk masuk ke kawasan tersebut kerana bas yang kami naiki tidak dapat masuk ke dalam akibat masalah jalan yang sempit. 
             Hal ini tidak mematahkan semangat saya dan kami terpaksa berjalan kaki. Sebenarnya masalah ini bukanlah suatu beban kepada saya kerana ini semua mampu menguji ketahan mental dan fizikal saya. Alhamdulilah, di pertengahan jalan kami didatangi beberapa buah trak daripada pihak Kalumpang Resort untuk menghantar kami semua ke kawasan perkhemahan. Inilah pengalaman kali pertama saya menaiki trak.
               Di sana saya dapat mempraktikkan ilmu yang telah diajar oleh pensyarah dan instruktur kami sepenuhnya dalam hal membuat gajet. Kami telah membahagikan ahli-ahli Pandu kepada beberapa kumpulan dan membuat gajet yang berlainan. Ada yang membuat rak pinggan, pintu gerbang, ampaian dan meja makan. Seronok rasanya dapat mempraktikkan ilmu ikatan dan simpulan di sana. Di sana saya belajar tentang erti semangat berpasukan. Begitu juga dengan aktiviti memasang khemah. Jika kami tidak bekerjasama tidak mungkin kami dapat hidup dengan aman dan selesa di sana.
            Selepas solat zuhur, saya melaksanakan aktiviti permainan luas. Antara aktiviti dalam permainan tersebut ialah kemahiran menggunakan kompas, permainan kim dan tanda-tanda mengesan. Aktiviti ini dijalankan dengan bantuan instruktor perkhemahan seramai 3 orang. Melalui aktiviti kemahiran kompas saya perlu mengenal pasti tugasan yang diberikan dengan melihat kawasan yang ingin diukur. Pengggunaan kompas sangat penting dalam hutan jika kita mahu mencari arah atau mungkin berlaku kesesatan dalam hutan. 
           Selain itu, aktiviti tanda-tanda mengesan juga sangat penting ketika mahu mengesan mangsa yang sesat di dalam hutan atau mengesan sesuatu di dalam hutan. Permainan Kim pula adalah permainan yang paling menyeronokkan bagi saya. Mata kami ditutup dan diminta berjalan mengikut arahan yang diberikan. Barulah saya faham betapa pentingnya kita taat dan patuh pada arahan malah saya dapat merasai pengalaman menjadi orang buta. Pada masa yang sama saya dapat mengukur tahap kepekaan pancaindera telinga terhadap bunyi dan suara. Mata terhadap penglihatan, dan tangan terhadap sentuhan.
            Selepas itu,saya bergegas ke dewan kerana aktiviti seterusnya ialah taklimat kepimpinan oleh guru pembimbing kami iaitu Puan Aishah. Beliau telah menerangkan dengan teliti aspek-aspek kepimpinan dalam Persatuan Pandu Puteri. Banyak ilmu dan pengetahuan baru yang saya perolehi melalui taklimat tersebut dan sesungguhnya input ini boleh saya gunakan ketika saya menjadi guru kelak. Saya tidak terlepas mencatat segala isi penting dan memberi sepenuh tumpuan terhadap taklimat tersebut. Diakhir taklimat ini guru ada membuat sedikit refleksi tentang aktiviti yang telah dijalankan sebelum ini dan kami juga diminta kehadapan bagi setiap kumpulan untung mepersembahkan trademark kumpulan masing-masing.
            Pada sebelah petangnya, aktiviti memasak dijalankan. Saya amat teruja untuk melakukan aktiviti ini kerana hobi saya ialah memasak. Amat rugi jika seorang perempuan itu tidak tahu memasak kerana bagi saya ilmu memasak ini penting sebaga bekalan menjadi suri rumahtangga kelak. Kami diminta memasak roti lilit dan telur rebus mengikut bahan–bahan yang telah ditetapkan dengan hanya menggunakan dua batang mancis. Di sinilah saya memasang strategi dan kemahiran yang bijak agar dua batang mancis ini dapat saya gunakan sebaiknya dalam memasak. Saya membahagikan tugas memasak dengan adil agar setiap ahli kumpulan tidak curi tulang. Saya juga menggunakan kreativiti yang ada dalam melilit roti pada batang buluh dan juga menghias hidangan. Akhirnya berkat kerjasama kumpulan kami dapat menyiapkan tugasan memasak ini dengan baik sekali.

            Pada sebelah malamnya aktiviti kami diteruskan lagi dengan aktiviti malam kebudayaan. Malam kebudayaan ini boleh dianggap sebagai acara kemuncak bagi Perkhemahan Pandu Puteri ini. Majlis kami pada malam itu dihadiri oleh semua peserta perkhemahan, instruktor dan pensyarah pembimbing. Tema pada malam tersebut ialah wanita melayu dan ramai peserta yang mengenakan pakaian batik. Terdapat pelbagai aktiviti yang menarik dan kami dikehendaki memberi tepukan semangat bagi setiap kumpulan untuk menambahkan lagi kehangatan majlis pada malam itu. Terdapat 7 kumpulan yang membuat persembahan pada malam itu. Ada kumpulan yang mempersembahkan tarian, lakonan dan nyayian. Saya tidak melepaskan peluang dengan menyampaikan sajak pada malam itu. Dengan ini saya dapat mengasah bakat serta meningkatkan keyakinan diri berhadapan dengan orang ramai. 
                Sesungguhnya persembahan mereka pada malam itu memberikan pengajaran yang berguna kepada semua. Walaupun banyak kumpulan membuat persembahan berunsurkan hiburan tetapi terdapat pelbagai mesej yang ingin disampaikan oleh mereka terutamanya hal-hal yang berkaitan moral. Malah setiap persembahan diselingkan dengan nyanyian Pandu Puteri agar nyayian ini dapat dipraktikan semasa di sekolah kelak. Kesimpulannya, kesemuanya dapat menghiburkan diri di samping mengambil banyak pengajaran daripada persembahan-persembahan tersebut.

22 April 2012 (Ahad)
            Hari ini sudah masuk hari yang kedua. Pagi-pagi lagi kami bangun dan mempersiapkan diri untuk solat subuh bersama. Kemudian saya mengikuti aktiviti senam aerobik yang ternyata seronok sekali serta menyihatkan badan. Aktiviti yang amat mencabar saya sekali pada hari ini  ialah aktiviti berjalan sejauh 7km di dalam hutan. Letih sekali rasanya kerana kami terpaksa mendaki bukit yang begitu curang sekali dan trak laluannya adalah panjang. 
              Merentas hutan tebal ialah satu pengalam yang amat bermakna sekali ini kerana ini adalah pengalaman kedua saya memasuki hutan. Sungguh indah ciptaan Allah dan ini membuatkan saya rasa bersyukur sekali kerana saya mampu menikmati kehijauan flora dan melihat pelbagai spesis serangga yang unik yang tidak pernah saya temui sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, aktiviti di dalam hutan adalah amat terkesan sekali di hati saya. Ini kerana dengan keadaan hutan yang tebal, laluan yang curam dan licin kami diarahkan untuk membuat sajak.
            Selepas penat merentas hutan, kami diberi peluang untuk mandi sungai. Saya sangat gembira kerana akhirnya saya berpeluang untuk mandi sungai dengan air yang sejuk dan deras. Walaupun begitu, masa haruslah ditepati dan saya segera mempersiapkan diri untuk pergi ke dewan bagi majlis penutupan. Majlis penutupan dirasmikan oleh En.Ridhuan iaitu selaku pegawai di bahagian pusat kokurikulum UPSI. Saya memakai uniform lengkap begitu juga dengan ahli-ahli yang lain. Kesemuanya nampak gah dan anggun sekali memakai pakain lengkap Pandu Puteri berwarna biru. Saya merasa amat bertuah dan bangga sekali menjadi sebahagian daripada ahli pasukan ini. Inilah aktiviti terakhir perkhemahan ini dan kami bertolak pulang pada pukul 2.00 petang.
          Tidak ada langsung rasa menyesal saya selama mengikuti perkhemahan ini. Bertolak ansur, memupuk sifat sabar, setiakawan, bekerjasama dan bekerjasama antara ahli pasukan ialah perkara yang saya dapat di sini dan saya percaya pengalaman ini tidak boleh dijual beli. InsyaAllah saya akan gunakan semua ini untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan dan juga menjadi guru Pandu Puteri yang cemerlang kelak di sekolah.

1 comment:

  1. Coretan yang sangat menghiburkan. Teruja membacanya sampai habis.

    ReplyDelete