Iman
Zulaikha merupakan seorang pelajar tingkatan satu. Setelah bapa dan ibunya
bercerai, Iman berpindah dan tinggal bersama-sama datuk dan neneknya di
kampung. Iman menyimpan cita-cita yang tinggi agar dia dapat menyatukan semula
ibu dan bapanya. Iman dan Pei Wen merupakan pasangan sahabat yang rapat sama
ada di sekolah atau di rumah. Kedua-duanya sering mencurah rasa dan sama-sama
berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Setiap hari
apabila sampai di rumah, Iman akan membaca dan menghantar e-mail kepada ibunya
yang berada di New Zealand.
Di
sekolah, Iman merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan sering dikagumi oleh
pelajar-pelajar yang lain. Namun, Linda sering menimbulkan masalah dan tidak
mahu berbaik-baik dengan Iman. Kehadiran pelajar baharu, iaitu Adif Danial ke
sekolah mereka menambah lagi rakan Iman termasuk Zulkarnain. Pernah pada suatu
ketika Linda menolak Iman sehingga terjatuh dari tangga gara-gara Iman tidak
mahu menarik diri daripada pertandingan pidato yang mereka sertai. Berkat
kegigihan dan ketabahannya berlatih, Iman berjaya menjadi juara dan bakal
mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato peringkat daerah.
Kehadiran
ayahnya secara tiba-tiba pada suatu hari mengganggu ketenangan Iman. Ayahnya
memberitahu bahawa dia ingin berkahwin dengan Puan Sofia, ibu Adif Danial.
Ketika berjumpa Yusri di sekolah, Adif Danial terkejut dan menyedari bahawa
Yusri ialah bapa Iman. Hal ini menyebabkan Adif Danial memberontak dan
menjauhkan diri daripada Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tetapi merapatkan diri
dengan Linda.
Oleh
sebab kedua-dua anak mereka tidak bersetuju, Yusri dan Puan Sofia tidak jadi
berkahwin. Iman kembali mesra dengan ayahnya. Iman menjadi juara pidato di
peringkat daerah. Pertandingan ini turut disaksikan oleh ayahnya. Kejahatan
Linda terbukti apabila dia ditangkap kerana mencuri diari dan teks pidato Iman. Namun, Iman memaafkan Linda. Berita
gembira disampaikan oleh ayah Iman. Ayahnya mengajak Iman, datuk dan neneknya
pergi ke New Zealand untuk bertemu dengan ibunya. Hal ini amat menggembirakan
Iman.
Tema
Kasih sayang
Iman
Zulaikha amat menyayangi kedua-dua ibu bapanya.
Setelah mereka bercerai, Iman ditinggalkan bersama-sama datuk dan
neneknya di kampung. Namun, hubungan ibu
dan bapanya masih baik sebagai sahabat. Pelbagai usaha dilakukan agar kedua-dua
ibu bapanya dapat bersatu semula.
Persoalan
1. Persoalan
pengorbanan
Ayah Iman dan ibu
Adif Danial, terpaksa mengorbankan hasrat mereka untuk berkahwin
kerana
anak-anak mereka tidak menyetujui perkahwinan tersebut. Ayah Iman akur
dengan permintaan
Iman agar beliau berbaik-baik dengan bekas isterinya semula. Adif
Danial pula belum
bersedia untuk menerima orang baharu sebagai ayahnya.
2. Persoalan
ketabahan
Iman tabah
menghadapi dugaan dan cabaran yang dihadapinya.
Setelah ditinggalkan
oleh ibunya yang
melanjutkan pelajaran di New Zealand, dia menyesuaikan dirinya
tinggal dengan
datuk dan neneknya di kampung. Segala
masalah dihadapinya tanpa
merungut malahan
dia lebih berazam untuk berjaya.
3. Persoalan hubungan
persahabatan
Iman dan Pei Wen
bersahabat baik dan sering mencurah rasa serta sama-sama
menyelesaikan
masalah yang mereka hadapi.Kegigihan
Iman gigih
berlatih untuk memenangi pertandingan pidato bagi mewakili sekolahnya ke
peringkat daerah.
4. Persoalan taat
kepada perintah agama
Iman sentiasa
menunaikan sembahyang dan memohon doa agar segala apa yang
dihajatinya
tercapai.
Plot
Iman
Zulaikha merupakan pelajar tingkatan satu yang tinggal bersama-sama datuk dan
neneknya di kampung. Iman tinggal
bersama-sama dengan ibunya setelah pihak mahkamah memberikan hak penjagaan
kepada ibunya. Iman kemudiannya
berpindah ke kampung kerana ibunya melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Namun, kerana kasih sayang terhadap ibu dan
bapanya, dia menyimpan hasrat untuk menyatukan mereka semula.
Perkembangan
Dia
amat senang berkawan dengan Pei Wen yang tinggal bersebelahan rumah datuknya di
kampung. Mereka sering bersama-sama ke sekolah. Pei Wen dan Iman berkongsi suka duka dan
sering mengatasi masalah bersama-sama.
Iman dan ibunya sering berhubung melalui kiriman e-mail.
Perumitan
Linda,
rakan sekelas Iman, sering menimbulkan masalah kepada Iman kerana Linda tidak
mahu berbaik-baik dengan Iman. Hal ini
menghairankan Iman. Apabila Cikgu Julia
mencari wakil pidato untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah, Linda menjadi
pesaingnya. Kemunculan Adif Danial yang
berkawan rapat dengan Iman, Pei Wen dan Zulkarnain tambah menaikkan kemarahan
Linda. Linda menyuruh Iman menarik diri
daripada pertandingan tetapi tidak dipersetujui oleh Iman.
Puncak
Iman
memenangi pertandingan pidato peringkat daerah hasil daripada kegigihannya
berlatih walaupun pelbagai masalah yang dihadapinya sepanjang tempoh persediaan
bagi menyertai pertandingan tersebut.
Dua hari sebelum bertanding, diari dan teks pidatonya hilang. Namun dia cekal. Ayahnya turut hadir memberikan sokongan pada
hari pertandingan.
Peleraian
Datuk
dan nenek mengadakan kenduri kesyukuran bagi menghargai kejayaan Iman. Berita yang paling menggembirakan Iman ialah
bapanya bersetuju untuk membawa Iman serta datuk dan neneknya ke New Zealand
bertemu dengan ibunya.
Teknik
Plot
1. Dialog
Perbualan antara Iman dan Pei Wen semasa
Pei Wen mengadu tentang ibu tirinya yang sering tidak bersefahaman dengannya.
2. Kejutan
Pembaca dikejutkan dengan berita bahawa
Yusri ingin membawa Iman berjumpa dengan ibunya di New Zealand.
3. Imbas kembali
Iman terkenangkan peristiwa semasa
usianya 12 tahun, ibu dan bapanya bercerai.
4. Suspens
Pembaca tertanya-tanya peristiwa ketika
Adif Danial melarikan diri daripada Yusri ketika pertemuan mereka di sekolah.
Watak
dan Perwatakan
Watak
Utama
Iman
Zulaikha
- Pelajar tingkatan satu
- Penyayang
Iman
amat menyayangi kedua-dua ibu dan bapanya walaupun mereka telah bercerai. Malahan Iman bercita-cita untuk menyatukan
mereka semula.
- Gigih
Iman
gigih berlatih untuk memenangi pertandingan pidato peringkat sekolah dan
peringkat daerah. Hasil usahanya yang
gigih, dia berjaya menjadi johan.
- Pemaaf
Iman merupakan seorang yang pemaaf. Dia memaafkan kesalahan Linda yang pernah
menolaknya sehingga jatuh tangga dan mengambil diari serta teks pidatonya
sebelum pertandingan.
- Berani
Iman berani menentang Linda yang
menyuruhnya menarik diri daripada pertandingan pidato agar memberi laluan
kepadanya.
Watak Sampingan
Cikgu
Julia
- Merupakan guru kelas Iman Zulaikha.
- Seorang guru yang bertanggungjawab terhdap semua muridnya.
- Telah banyak membantu Iman Zulaikha dalam pelajaran dan pertandingan pidato yang di sekolahnya.
Pei
Wen
- Merupakan sahabat baik Iman.
- Belajar dalam kelas yang sama dan tinggal sekampung dengan Iman Zulaikha. Tinggal dengan emak tirinya.
Adif
Danial.
- Merupakan sahabat baik Zulkarnain.
- Rakan sekelas Iman Zulaikha.
- Merupakan pelajar terbaik dalam kelas 1 Dinamik.
Linda
- Merupakan rakan sekelas Iman Zulaikha.
- Suka menyakiti hati Iman dan akhirnya dia insaf akan kesalahannya dan berbaik semula dengan Iman Zulaikha.
Latar
Ø Pada waktu pagi.
Sewaktu
sesi persekolahan pagi bermula jam 7.35 pagi.
Contohnya,
sewaktu di dalam kelas Linda telah mengasari Iman.
Ø Pada
waktu petang.
Selepas
sesi persekolahan.
Contohnya,
Iman menemani Pei Wen membeli barang di pasar raya.
Ø Pada
waktu malam.
Hubungan
Iman dengan ibunya.
Contohnya,
Iman selalu berbalas e-mail dengan ibunya yang berada di New Zealand.
Latar
Tempat
Ø Sekolah
Tempat Iman, Pei Wen, Zulkarnain, Linda dan Adif
Danial menuntut ilmu.
Ø Rumah datuk dan nenek Iman
Tempat
tinggal Iman setelah ibunya pergi melanjutkan pelajaran ke New Zealand.
Ø Port Dickson
Bapa
Iman, Yusri membawa Iman dan datuk neneknya bersiar-siar ke Port Dickson.
Ø Kampung
Iman
tinggal bersama-sama dengan datuk dan neneknya di kampung.
Latar
Masyarakat
Ø Masyarakat pelajar
Masyarakat
ini diwakili oleh Iman, Linda, Pei Wen, Zulkarnain dan Adif Danial.
Ø Masyarakat kampung
Iman
tinggal di kampung bersama-sama datuk dan neneknya.
Ø Masyarakat yang patuh kepada agama
Datuk
selalu bersembahyang jemaah di surau berhampiran rumahhnya di kampung tersebut.
Nilai
1. Nilai kasih sayang
Iman
amat menyayangi ibu dan bapanya walaupun mereka telah berpisah. Datuk dan nenek Iman juga amat menyayangi
Iman.
2. Nilai ketabahan
Iman
tabah menghadapi pelbagai dugaan untuk mencapai kemenangannya dalam
pertandingan pidato peringkat sekolah dan daerah
3. Nilai kerajinan
Iman
merupakan seorang pelajar yang rajin membaca dan mengulang kaji pelajaran.
Pengajaran
1.
Kita hendaklah menyayangi ibu dan bapa walaupun mereka telah berpisah
kerana tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia.
2. Kita perlu tabah menghadapi pelbagai dugaan
untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan.
3. Sebagai seorang pelajar kita haruslah rajin
membaca dan mengulang kaji pelajaran.
Baik
ReplyDelete