Assalamualaikum..
Saya baru sahaja selesai membuat kajian mengenai novel "Syabab Musafir Kasih" ini. Apa yang lebih menggembirakan penulis novel ini baru sahaja mengadakan sesi forum di Dewan Kolej Ungku Omar UPSI..forumnya bertajuk "Cinta VVIP' memang menarik sekali. Saya sempat menghadirinya dan sedikit sebanyak mengambil input yang berguna melalui penyampaiannya.
Novel berjudul “Syabab Musafir Kasih” terbitan Telaga biru ini merupakan sebuah
karya unggul daripada penulis tempatan iaitu
Fatimah Syarha Mohd. Noordin. Beliau merupakan novelis sayembara novel
remaja Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2006. Kemunculannya dalam bidang
penulisan novel sememangnya memberi nafas baru terutamanya dalam bidang
keagamaan. Sekilas mengenai latar belakang peribadinya, penulis ini berasal
dari Ajil Terengganu. Beliau merupakan graduan UIAM, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan
Sains Kemanusiaan, pengkhususan dalam Fiqh dan Psikologi. Kemudian beliau
mengambil Ijazah Bacaan Quran Bersanad
dan Daurah Bahasa Arab di Universiti Syeikh Ahmad Kiftaro, Damsyiq, Arab. Kini,
beliau menyambung pengajian peringkat sarjana di UIAM. Beliau mula berkarya
dengan Telaga Biru Sdn. Bhd pada Disember 2005.
Novel
setebal 361 halaman ini banyak
menggariskan panduan hidup berlatarkan ajaran agama yang luhur dan suci. Bermula
daripada bab satu hingga bab tujuh belas, Fatimah Syarha cuba mengungkap kisah
hidup seorang anak yatim bernama Syabab yang hidup dengan penuh liku dan cabaran dalam mencari identiti dirinya.
Kelahiran anak desa yang langsung tidak mendapat perhatian ini telah
mendesaknya untuk berdikari sejak kecil lagi dan sekaligus memperlihatkan
usahanya untuk berjaya dalam kehidupan. Kehadiran jirannya, Nur Mumtazah telah
banyak mengajarnya erti kehidupan. Di samping itu, kemunculan watak-watak lain turut
melengkapkan cerita ini dengan kisah mereka tersendiri.
Melalui
novel “Syabab Musafir Kasih” ini banyak nilai-nilai yang mampu dijadikan
iktibar dan panduan terutamanya dalam menuntut generasi muda kini membentuk
modal insan yang diharapkan oleh negara. Sememangnya sudah menjadi hasrat
negara melahirkan modal insan yang menjadi indikator demi pembangunan negara
yang berkualiti. Pendekatan kepada pembangunan modal insan haruslah secara
holistik, menekankan pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual
termasuk ilmu sains, teknologi dan keusahawanan, dan juga pembudayaan sikap
progresif serta nilai etika dan moral yang tinggi. Modal insan yang dimaksudkan
di sini haruslah memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat,
negara dan dunia.
No comments:
Post a Comment